fbpx

Mudahnya, Ini 10 Tips Ibu Bapa Hebat. Amalkan Selalu!

Pasti ramai di luar sana yang masih mencari tips ibu bapa supaya dapat menyediakan yang terbaik untuk anak-anak. Tapi bagaimana? Susahkah?

Tanyakan pada diri, adakah anda bersedia untuk memberi komitmen yang lebih?

Bukan setakat memberi anak-anak makanan yang secukupnya, tempat tinggal yang selesa dan keperluan harian yang lain. Tetapi anda juga boleh lakukan tips ibu bapa ini agar dapat mengukuhkan hubungan dengan anak-anak.

 

1. KETAHUI MINAT ANAK

Selidik apa yang anak suka dan tidak suka. Jika ada aktiviti yang anak minat, galakkan mereka secara positif dan asah bakatnya.

Jadi, anak akan rasa anda ibu bapa yang hebat kerana menyokong minatnya. Malah, mereka akan lebih bersemangat dan teruja untuk lebih berjaya dalam bidang yang mereka minati sehinggalah dewasa kelak.

2. KONGSI PENGETAHUAN DENGAN ANAK

Anak biasanya akan melihat ibu bapa sebagai idola. Jadi apa yang ibu bapa suka, mereka akan sama menyukainya. Luangkan lebih masa untuk berbual dan berkongsi pengetahuan dengan anak.

Hanya dengan menonton televisyen bersama anak, melancong, makan angin di taman, atau membeli-belah di pasaraya, anda mampu berkongsi pelbagai pengetahuan kepada mereka.

3. BERI PELUANG PADA ANAK UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN

Apa jua perkara yang melibatkan anak, pastikan anda berkongsi dengan mereka dan minta mereka membuat keputusan bersama.

Untuk melatih mereka menjadi seorang yang yang berdikari dalam membuat keputusan, mulakan dengan perkara yang mudah. Contohnya, warna baju yang ingin dipakai atau menu makan malam pada hari ini

Anak-anak akan rasa lebih dihargai apabila keputusan mereka diambil kira.

4. MINTA MAAF JIKA ANDA MEMBUAT SALAH

Bukan mudah meminta maaf, namun anda seorang ibu atau bapa yang hebat jika meminta maaf mengakui kesalahan yang anda lakukan pada anak.

Buangkan ego jauh-jauh dan tanamkan niat mendidik anak. Kita pasti tidak mahu mereka mencontohi kesilapan yang kita lakukan.

5. MEMUJI ANAK

Setiap kali anak membuat sesuatu yang membanggakan, pujilah mereka kerana ia membantu menaikkan semangat anak-anak.

Kadang-kadang ibu bapa terlalu sibuk sehingga hanya nampak kesalahan anak.

Semasa anak bermain dengan elok, tidak bergaduh, dan mengemas mainannya, kita pula selalu bersikap acuh tak acuh saja. Jangan begini ya!

6. ELAK BERI TEKANAN PADA ANAK

Jangan keterlaluan dalam memaksa mereka membuat sesuatu yang anak tidak disukai. Pasti ada sebab anak tidak suka membuatnya.

Seelok-eloknya, cuba tanyakan kepada mereka kenapa mereka tidak menyukai sesuatu perkara. Cuba tawarkan beberapa alternatif untuknya.

7. AMBIL BERAT

Tips ibu bapa ini mungkin yang paling cliche. Tapi, tidak kurang pentingnya.

Setiap hari, tanya anak-anak yang dilakukan di sekolah. Jelas, anda mengambil berat akan diri anak-anak.

Tentunya, apabila pulang dari sekolah, bermacam-macam cerita daripada mereka! Jadilah pendengar yang baik dan berilah respon kepada mereka. Mesti anak seronok!

8. MAKAN BERSAMA

Bukan mudah untuk berkumpul bersama-sama semasa waktu makan kerana komitmen masing-masing. Namun, usahakan agar anda sekeluarga makan bersama setiap hari tidak kira sama ada sewaktu sarapan ataupun makan malam.

Fokuskan terhadap keluarga semasa waktu makan dan tutupkan semua gajet supaya anda semua dapat berbual tanpa sebarang gangguan.

9. JANGAN MEMBANDINGKAN ANAK

Elak membuat perbandingan anak-anak dengan orang lain ataupun antara sesama adik beradik.

Ini adalah antara perkara yang paling cepat anak kecil hati. Walaupun ibu bapa mungkin betul, tetapi anak-anak tidak suka dibandingkan dalam apa jua hal sekalipun.

Jika ingin memberi contoh, carilah tokoh-tokoh terkenal yang mereka suka. Tidak perlu dibandingkan dengan anak-anak lain.

10. PELUK ANAK SETIAP HARI

Bak kata pepatah, ‘Love is a Verb’, bermaksud ‘Cinta adalah Perbuatan’. Seseorang tidak akan mengetahui kasih sayang jika kita tidak menunjukkannya. Apatah lagi seorang anak kecil yang baru setahun jagung!

Maka, cium dan peluk mereka setiap hari agar ia menjadi tabiat dan sebati dalam diri anak-anak. Dengan ini mereka akan rasa disayangi.

Percayalah, walaupun anak-anak sudah dewasa, mereka akan tetap merindui pelukan ibu bapa.

ANAK HEBAT BERMULA DARI IBU BAPA YANG HEBAT

Meskipun bukan mudah menjadi ibu bapa di zaman sekarang ini, namun anda boleh ikuti tips ibu bapa di atas untuk tampil hebat di mata anak-anak.

Sebenarnya, jika kita menjadikan perkara di atas sebagai kebiasaan, tentu ia akan menjadi lebih mudah. Perkara-perkara kecil ini amat dihargai oleh anak. Jadi, tidak rugi mencubanya!

Recent Posts