fbpx

16 Tips Menjadi Ibu Bapa Yang Sabar Dalam Mendidik Anak

“Sabar itu separuh daripada iman”.

Bukan mudah menjadi ibu bapa yang sabar di zaman serba moden dan maju ini.

Tugas dan beban yang perlu ditanggung dalam kehidupan sehari-hari pastinya banyak mencabar daya kesabaran kita.

Mempunyai kesabaran yang tinggi adalah idaman setiap ibu bapa, namun tak semua ibu bapa dapat bertahan dengan kesabaran yang mutlak.

 

Sifat sabar adalah sifat mahmudah yang terpuji.

Nabi Muhamad adalah nabi dan rasul yang amat penyabar. Contohnya kita boleh lihat kesabaran nabi semasa peristiwa Thaif. 

Sifat sabar dalam diri ibu bapa adalah kunci segala kejayaan dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa wajib mendidik diri menjadi seorang yang sabar dan sentiasa bersabar dengan apa jua keadaan. Kerana kesabaran yang tinggi sahaja membolehkan ibu bapa menangani setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak-anak.

Ibu bapa yang tidak dapat mengawal kemarahan, sensitif dan tidak tabah akan mengalami kegagalan dalam mendidik anak.

Disini ada beberapa cadangan untuk ibu bapa supaya dapat menjadi seorang yang sabar:

1. Hadapi karenah anak yang degil, suka bergaduh, menyelerakkan peralatan, kotor dan lain-lain dengan tenang. Anggaplah usia anak yang masih kecil berkelakuan sedemikian ini hanya bersifat sementara. Cuba layani setiap karenah anak tanpa makian, rotan dan kemarahan. Berlembut dengan anak-anak dengan memuji mereka jika mereka meninggalkan kesalahan.

2. Semua ibu bapa menghadapi masalah yang sama, kita kita perlu tabah menghadapinya. Jika kita mempunyai anak yang degil, begitu juga dengan orang lain. Jadi bukan anda seorang diuji sebegitu.

3. Anak-anak perlu dididik sedikit demi sedikit dan berperingkat. Anak-anak menerima arahan dan perintah dengan gembira apabila arahan itu diberikan dengan penuh kegembiraan dan mesra.

4. Anggap segala karenah anak-anak adalah ujian Tuhan untuk hambanya. Allah pasti membalas segala kesabaran kita semasa proses membesarkan anak-anak. Setiap ujian tuhan pasti dibalas dengan baik apabila ibu bapa mampu bersabar.

5. Elakkan tekanan dan cuba belajar mengurangkan konflik suami isteri, tempat kerja dan lain-lain yang menjadikan anda kurang sabar. Tekanan mesti dikurangkan dan dielakkan supaya ketegangan dan konflik berterusan dapat dijauhi.

6. Banyakkan membaca nama tuhan: Ya Shabur sebanyak mungkin setiap hari supaya anda menjadi seorang penyabar.

7. Elakkan membiarkan masalah kecil menjadi besar. Setiap  masalah yang kecil perlu diselesaikan sebelum ia merebak menjadi masalah besar. Apabila menghadapi masalah besar, kesabaran agak sukar dicapai dan kemarahan mudah menimpa anda.

8. Banyakkan membaca surah Yasin untuk melembutkan hati. Sebaik-baiknya dibaca setiap hari oleh ibu bapa. Apabila hati lembut, kesabaran diperoleh.

9. Elakkan mudah tertekan seperti kesesakan lalu lintas, suasana bising dan kurang tidur. Pastikan perkara itu dielakkan supaya mengelakkan anda tertekan dan mudah marah.

10. Banyakkan istigfar dan taawwuz untuk menjauhkan syaitan.

11. Kekalkan diri dalam keadaan wuduk.

12. Tanamkan kegembiraan dalam hati kerana mendapat anak. Bayangkan hidup tanpa anak, kosong dan sunyi.

13. Jadikan anak-anak sebagai hiburan dan kawan sepermainan. Anak yang rapat dan mesra dengan ibu bapa akan kurang membuat karenah dan tidak menyusahkan ibu bapa.

14. Biarkan anak-anak sebagai meluahkan perasaan mereka walaupun usia mereka masih kecil. Walaupun masih kecil, mereka juga berhak menyuarakan luahan dan perasaan. Ini akan merapatkan hubungan ibu bapa dan anak-anak.

15. Didiklah diri bahawa anak-anak bencikan ibu bapa yang pemarah tetapi menyayangi ibu bapa yang bersabar. Apabila anda berfikir sedemikian, anda berusaha bersabar demi anak-anak.

16. Kesabaran disukai Tuhan dan kunci ke syurga. Bersabarlah semoga mendapat balasan syurga di akhirat nanti.

Demikian beberapa cara dan cadangan kepada ibu bapa untuk menjadi penyabar dan mendapat kesabaran.

Memang bukan mudah mencapai kesabaran apabila tiada kemahuan dan tidak mahu berubah. Kalau anda seorang yang panas baran, mendidik diri menjadi sabar adalah hijrah ke arah kebaikan.

Setiap kejayaan itu adalah kerana diiringi dengan kesabaran. Tanpa kesabaran, matlamat dan kejayaan sukar dicapai. Hanya ibu bapa yang penyabar akan menjadikan anak mereka cemerlang dan gemilang.

Recent Posts