Sesi pembelajaran berjalan secara interaktif an bersifat dua hala antara guru, murid
2 Disember 2015
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
farlin@hmetro.com.my
Biasanya kanak-kanak kecil berusia antara tiga hingga enam tahun lebih ditekankan belaiar secara lebih formal dan berasaskan ujian untuk membantunya mengenal huruf dan nombor, selain membina tatabahasa.
Bagaimanapun, terdapat konsep pembelajaran berbeza misalnya pembelajaran yang lebih memberi tumpuan kepada pendidikan secara lebih bersifat praktikal, selain mendedahkan kanak-kanak dengan kemahiran yang mampu membina fokus mereka seawal usia yang mungkin.
Menariknya, kanak-kanak dididik dengan etika serta kemahiran dalam perniagaan, antaranya kebolehan berunding, kesedaran sivik, peka kepada persekitaran, lebih praktikal dalam menyelesaikan masalah serta membantu menjadikan diri lebih yakin dan mampu bertolak ansur dengan orang lain. Begitulah yang diketengahkan oleh tadika NimbleBee PraSekolah Keusahawan Islam (NimbleBee).
Menurut Ketua Unit Maklumat dan Teknologi NimbleBee International Sdn Bhd, Marzira Mahdzir, NimbleBee yang baru memulakan operasinya mempunyai keistimewaan dengan memberi tumpuan kepada pembinaan sahsiah diri melalui pengetahuan dalam asas perniagaan.
Kanak-kanak dilatih dengan asas perniagaan mengikut ajaran Islam manakala sesi pembelajaran berjalan secara interaktif dan bersifat dua hala antara tenaga pengajar dan pelajar.
"Cara ini lebih efektif untuk menjadikan kanak-kanak lebih yakin dan faham berbanding penggunaan papan putih. Mereka juga diajar membaca dan mengira secara lebih praktikal. Seorang guru memantau 15 pelajar pada satu masa supaya dapat membantu perkembangan setiap pelajar.
"Selain pendidikan asas membaca dan mengira, kanak-kanak terbabit turut dididik dengan adab profesional dalam perniagaan serta memahami konsep asas berniaga, antaranya melakukan rundingan dan perbincangan serta jual beli," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
NimbleBee beroperasi di enam cawangan iaitu di Emerald Rawang, Sri Hartamas Kuala Lumpur dan di sekitar Shah Alam iaitu Subang Bestari, Setia Alam, Alam Impian dan Vista Alam.
Menurut Marzira, antara silibus pelajaran ialah keusahawanan, sesi bercerita, belajar menggunakan deria, praktikal kehidupan, budaya, agama, Bahasa Arab, Mandarin, Inggeris, sukan lawan pedang, solat, doa, menghafaz dan baca al-Quran, seni, muzik, Matematik, Sains, Teknologi, lT dan memasak.
Katanya, terdapat tiga pakej yang ditawarkan kepada ibu bapa untuk membantu kanak-kanak mencapai potensi terbaik diri iaitu Nimble Dawn, Nimble Rise dan Nimble Dusk.
"Objektif kami menawarkan subjek asas perniagaan selain kelas sukan lawan pedang untuk membina keyakinan diri menyelesaikan masalah yang timbul dalam kehidupan seharian selain mahir membuat sesuatu keputusan mengikut situasi.
"Mereka diajar berunding mengenai sesuatu perkara dengan orang sekeliling termasuk dengan rakan sebaya dan ibu bapa. Setiap yang kami ajar ini boleh digunakan dalam kehidupan reka, selain turut mendidik mereka mengenai keperluan dan kehendak.
"Mereka juga diajar bersikap berdikari, bijak menguruskan diri sendiri misalnya bersiap dengan mandi, melipat, memakai baju dan kasut sendiri.
"Pada masa sama, mereka dididik untuk peka dengan keperluan orang lain misalnya apabila membuka pintu, mereka perlu membenarkan orang di belakang masuk dahulu ataupun setiap yang mereka dapat harus dikongsi. Ini secara tidak langsung mengajar mereka supaya tidak mementingkan diri sendiri," katanya.
Marzira berkata, pelajar di situ juga didedahkan dengan sifat suka menabung sejak kecil iaitu mereka perlu menyimpan wang, malah ibu bapa diminta membuka akaun bank atas nama anak masing-masing.
Sama seperti semangat dalam perniagaan, kanak-kanak juga diajar untuk bekerja dalam pasukan dan bekerjasama dengan rakan sekelas untuk melaksanakan sesuatu proiek atau tugasan yang diberi.
Apa yang hendak dititikberatkan adalah kanak-kanak ini tahu mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting seperti orang dewasa dan tidak dilayan seperti kanak-kanak kecil.
"Hasil seni pelajar juga akan dijadikan poskad dan dijual melalui gerai yang dibuka setiap kali kami mengadakan acara di tadika. Ini secara tidak langsung membuatkan pelajar rasa bangga dan yakin diri kerana lukisannya mempunyai nilai.
"Kami juga memanggil kanak kanak ini dengan panggilan seperti cik puan muda dan cik tuan muda untuk membuat mereka rasa diri mempunyai tanggungjawab seperti orang dewasa.
"Biarpun bahasa perantaraan taraan ialah Inggeris, kami juga mendidik mereka berkomunikasi dalam bahasa Melayu yang sempurna, bukan bahasa rojak. Ini semua persediaan buat mereka untuk memasuki darjah satu dengan yakin," katanya.
Katanya, semua tenaga pengajar di NimbleBee dilatih sepenuhnya oleh Ustaz Muhidin Mokter dan Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki daripada Fitrah Coaching Sdn Bhd manakala sukan lawan pedang dilatih oleh bekas pemain negara, Muhammad Fairuz Ibrahim.
NimbleBee yang boleh mengambil kira-kira 60 hingga 100 kanak-kanak mengikut saiz cawangannya, dibuka kepada kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun dan kini dalam proses pengambilan pelajar bagi sesi Januari 2016.
Untuk maklumat lanjut, layari www.nimblebee.my dan Facebook, nimblebee montessori.